Monday, March 1, 2010

Utusan Malaysia : Kadar Tol Plus di Malaysia Akan Naik?

Dah nama pun PLUS. Maksudnya apa? Tambah! Pertambahan! Kenaikan! Peningkatan! Lainlah kalau ia ditukarkan kepada MINUS, mungkin nilainya(caj) akan berkurang.  Kini, sudah mula keluar cakap-cakap kadar tol di Malaysia akan dinaikkan tidak lama lagi. Perjanjian antara kerajaan dengan PLUS adalah berat sebelah.  Jikalau PLUS RUGI tidak dapat menampung penyelenggaraan dan operasi, boleh diterima lagi. Tetapi untuk tahun lepas sahaja, PLUS berjaya mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda iaitu sebanyak RM1.6 bilion. Meraka nak apa lagi sebenarnya daripada rakyat?
Seperti biasa Utusan Malaysia menjalankan tugas mereka :
MUSIM sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu memperlihatkan berpuluh ribu kenderaan memenuhi lebuh raya utara selatan, timur dan barat.Ketika kita sibuk bercuti ke kampung halaman dan menikmati perjalanan pergi dan balik yang lancar, ada satu perkara yang mungkin kita lupa. Kita tidak mengambil peduli bahawa rangkaian lebuh raya di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara dan juga Asia selepas Jepun dan China.
Pun begitu, pengguna perlu diingatkan bahawa perjalanan lancar itu ada harganya. Harga perjalanan akan bertambah mahal. Tahun ini, 10 lebuh raya dijangka akan menaikkan kadar tol termasuk di Jambatan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang akan mengkaji kadar harga tol untuk pertama kali.
Kadar tol Jambatan Pulau Pinang tidak dinaikkan sejak 25 tahun manakala LPT akan menyemak kadar tolnya selepas enam tahun. Menurut bekas Menteri Kerja Raya, kadar tol lebuh raya di Malaysia adalah paling murah di dunia. Purata tol dianggar daripada RM0.11 per km di LPT sehingga RM0.14 di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Jika dibandingkan dengan tol Jambatan Suramadu yang menyambung Surabaya dan Madura di Indonesia berharga 30,000 rupiah (RM11.04) bagi 5.4 km, ini bermakna pengguna membayar RM2.04 per km apabila mengguna jambatan tersebut berbanding menggunakan jambatan ketiga terpanjang di dunia iaitu Jambatan Pulau Pinang yang mengenakan kos hanya RM0.26 per km.
Jika dibuat perbandingan dengan lebuh raya Subic-Clark-Tarlac sepanjang 94 km yang merupakan lebuh raya terpanjang di Filipina, kos bagi kenderaan persendirian menyeberangi jambatan itu ialah RM0.15 per km. Bagi pengguna jambatan Bangabandhu sepanjang 5 km di Bangladesh yang menghubungkan bahagian timur dengan utara negara tersebut, mereka perlu membayar lebuh raya bertol itu pada harga AS$6 atau RM20.40 bagi kenderaan kelas 1 manakala trak dan lori membayar maksimum AS$18 (RM61.20) bagi satu perjalanan. Ini bermakna sebuah kereta persendirian membayar kira-kira RM4.08 per km.
Bayangkan tiga negara yang kategori pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada Malaysia tetapi terpaksa membayar kos tol lebih tinggi daripada kita. Bahkan, laluan bertol di Malaysia kerap dinaik taraf dan dibaik pulih bagi memberi kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada pengguna. Misalnya kemudahan di kawasan rehat lebuh raya utara Selatan dan pelebaran laluan di Jambatan Pulau Pinang ternyata memberi keselesaan kepada pengguna.
Di fasa kedua LPT yang menyambung lebuh raya hingga ke Terengganu yang kini dalam pembinaan, dijangka akan menyediakan perjalanan yang pantas dan tanpa gangguan dari Kuala Lumpur hingga Kuala Terengganu.
Lebuh raya itu bukan sahaja menghubung pekan berhampiran tetapi yang penting bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Tanpa lebuh raya yang menjadi salur nadi ekonomi Malaysia, negara kita tidak akan menjadi dinamik dan tumbuh dengan pantas. Jadi, ketika pengguna seronok menikmati keistimewaan lebuh raya dengan perkhidmatan dan kemudahan terbaik, jangan lupa tentang ada kosnya.
Rakyat Malaysia sudah terlalu lama dikaburi oleh harga tol yang murah. Pengguna kita dilindungi daripada kenaikan harga termasuk laluan bertol kerana ada subsidi. Ingatlah, subsidi tidak akan kekal selama-lamanya.
Dalam perancangan Model Ekonomi Baru, kerajaan sudah membayangkan tidak mampu lagi menanggung subsidi yang tinggi dan memberi kemudahan di bawah nilai sebenar meskipun ia akan menjejaskan golongan sebenar yang memerlukan bantuan. Kerajaan tidak sanggup lagi menanggung beban membayar subsidi dan ganti rugi kepada pemegang-pemegang konsesi lebuh raya bertol bagi mengelakkan kadar tol dinaikkan, kerana kosnya semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Ertinya, pengguna kenalah membayar jalan dan lebuh raya yang mereka guna dan mereka hendaklah berhenti merungut. Keselesaan pun ada harganya. Jadi, rakyat perlu bersedia membayar lebih apabila menggunakan laluan yang sekian lama diambil mudah kerana kerajaan memberi subsidi yang tinggi.
Rakyat kena memahami dan menerima hakikat bahawa mereka perlu membayar apa yang mereka guna, samalah juga mereka membayar apabila mengguna tandas, telefon awam dan tempat letak kereta. Mentaliti subsidi atau pergantungan pada kerajaan perlu dilenyapkan perlahan-lahan. Utusan Malaysia
Ingat ayat saya dalam artikel isu kenaikan harga minyak baru-baru tentang mentaliti subsidi? Ya..seperti dijangka semalam (24 Februari 2010) keluar lagi ayat ini di utusan Malaysia.
Saya ada beberapa persoalan. Antaranya :
  1. Kenapa kesilapan ketika perjanjian antara kerajaan dengan  PLUS terpaksa ditanggung oleh rakyat bergenerasi lamanya?
  2. Yang menjadi rakyat tidak mampu menerimanya dan mengakui perjanjian ini adalah berat sebelah. Tidak nampak sehingga ke hari ini usaha-usaha untuk memperbaiki keadaan yang sudah berlarutan untuk tempoh yang lama.
  3. Walaupun yang menggunakan tol tidak ramai (golongan minoriti) tetapi mereka bukan rakyat juga ker? Sudah rezeki dan tempat mereka di tempat yang dikerumuni dan disemakkan dengan tol-tol yang sedia menjadi ceti-ceti di jalanan. Suka atau tidak, mereka perlu membayarnya.
  4. Ada masalahkah untuk menolong rakyat. Sedangkan duit yang banyak-banyak digunakan perkara-perkara yang tidak sepatutnya (membawa kepada pembaziran).
  5. Adakah kenaikan tol ini akan dapat mengurangkan kesesakan? Boleh ke perbaiki sistem bas and LRT?
Apabila saya melihat ayat seperti di bawah ini membuatkan saya terfikir :
Kerajaan tidak sanggup lagi menanggung beban membayar subsidi dan ganti rugi kepada pemegang-pemegang konsesi lebuh raya bertol bagi mengelakkan kadar tol dinaikkan, kerana kosnya semakin meningkat darisemasa ke semasa.
Bunyi seperti PLUS dalam masalah besar. Adakah pemegang-pemegang konsesi lebuhraya bertol menanggung kerugian jika kerajaan tidak bayar subsidi. Realiti hari ini dan ironiknya staf-staf mereka menikmati bonus yang tinggi pula setiap tahun.
Sepatutnya konsesi ini kena fikir, perniagaan dan bisnes yang mereka jalankan sekarang ini adalah secara monopoli atau paling tidak duopoli. Contohnya kalau dengan tol RM2 dengan jumlah kenderaan yang sedia berkhidmat (memberikan subsidi), membuatkan mereka boleh untung bersih  yang banyak untuk menampung operasi sekurang-kurangnya untuk setahun yang akan datang.  Jadi sekurang-kurang jika prihatin dengan masalah rakyat /pengguna, tidak timbul isu kadar tol di Malaysia akan dinaikkan dan kerajaan tidak pula sampai menyalurkan subsidi.
Adakah isu kenaikan kadar tol boleh disamakan dialog (dalam sesebuah keluarga yang mempnyai 12 orang anak)  seperti di bawah :
“Seluruh anak-anakku yang disayangi, mak ayah tidak larat dah hendak menanggung beban dengan menjaga kamu semua. Jadi sekarang ini, anak-anakku sekalian, keluar dan mencari duit sendiri. Pandai-pandaila nak hidup.”
Perkara ini terlalu simple. Jika mahu menjadi kerajaan, mestilah menanggung dan membantu rakyat. Rakyat sudah menjalankan kewajiban dengan melangsaikan cukai sana dan sini, tetapi dalam masa yang sama kerajaan mengatakan mereka tidak sanggup menanggung rakyat?
Cara yang macam mana mahu membantu dan memulihkan keadaan, terpulang kepada kerajaan asalkan tidak menekan rakyat.

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...